Monday, May 14, 2012

"Connection In Progress!!" (2)

0 comments
...sambungan

Untuk menjalankan aktiviti ini, kita lakukan teknik pemodelan dengan menunjukkan terlebih dahulu bagaimana proses koneksi boleh berlaku. Langkah langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut.

Panduan Umum Aktiviti Koneksi

Sebelum aktiviti dijalankan:

1.  Buku yang mempunyai jalan cerita yang mudah dipilih terlebih dahulu.

2.  Tajuk yang dipilih adalah tajuk yang dirasakan paling hampir dengan kanak kanak,
     seperti hobi atau minat mereka atau aktiviti yang biasa dilakukan mahupun tempat
     yang biasa dilawati (contoh untuk memulakan koneksi teks kepada diri sendiri).

3.  Ulang kaji buku tersebut dengan membacanya terlebih dahulu dan aktiviti koneksi dengan diri kita sendiri dilakukan. Apabila tiba di muka surat yang mempunyai kisah yang serupa pernah kita lalui, berhenti sejenak untuk fikirkan kembali peristiwa itu.

4.  Kemudian, peristiwa itu dibuat catatan di atas sticky note dan ditampal pada
     muka surat tersebut.

5.  Proses ini diulang pada setiap muka surat yang mempunyai kisah yang sama atau hampir sama kita lalui.

Sticky note yang pelbagai warna dan bentuk ini amat praktikal dalam mencatatkan segala perkara yang difikirkan supaya tidak mudah lupa.


Semasa aktiviti dijalankan:

1.  Sebelum memulakan apa apa sekalipun teknik, penerangan tentang matlamat aktiviti dan kepentingan skil membuat koneksi ini diterangkan terlebih dahulu.

2.  Skil membuat koneksi dijelaskan dengan lebih terperinci. Contoh cara mendapatkan skil mula ditunjukkan (seperti langkah yang seterusnya).

3.  Cerita yang dipilih dibacakan dengan kuat. Apabila tiba di muka surat yang telah kita tampalkan sticky note, berhenti. Proses berfikir (yang berlaku di minda kita) semasa melakukan aktiviti koneksi disebutkan dengan jelas kepada kanak kanak.

4.  Proses berfikir dengan sedar tentang apa yang minda kita sedang fikirkan seperti aktiviti nombor 3 disebut metakognitif. Istilah ini turut diterangkan kepada kanak-kanak.

5.  Apakah yang boleh membantu kita supaya aktiviti koneksi itu berjalan lancar? Soalan atau ayat ayat prompt digunakan dan ditunjukkan penggunaannya kepada kanak-kanak.


6.  Sejurus soalan atau ayat prompt digunakan, jawapan diberikan berdasarkan catatan kita pada sticky note tersebut.

7.  Bagaimana kita boleh memberikan jawapan tersebut? Di sini, kita boleh terangkan apa itu skemata dan bagaimana ia berfungsi dalam membantu aktiviti koneksi kita.
Tip 

Kita tidak perlu rasa gusar memperkenalkan istilah yang dirasakan canggih atau sukar kepada kanak kanak. Seperti apa yang selalu dikatakan orang, 'jangan memandang rendah kebolehan kanak kanak'.

Sebaliknya, istilah ini hendaklah selalu diulang sebut supaya mereka jelas lagi ingat dan sedar akan kepentingannya mengetahui istilah ini.

Di dalam aktiviti ini, dua istilah sukar yang diperkenalkan adalah metakognitif dan skemata. 

Kita boleh memperkenalkan istilah baru ini pada hari sebelum aktiviti koneksi ini dilakukan bagi memudahkan lagi kefahaman mereka

(kedua dua istilah ini diperjelaskan dengan lebih lanjut di dalam entri bertajuk Metakognitif? Skemata? Apakah itu?).

Persoalan yang seterusnya,

Apakah prompt yang boleh digunakan?

Apakah contoh skrip aktiviti koneksi menggunakan buku bergambar tanpa perkataan yang boleh diberikan?

bersambung...

Wednesday, May 9, 2012

Metakognitif? Skemata? Apakah itu? (1)

0 comments
Semua perkara atau aktiviti yang kita lakukan sehari hari menuntut penggunaan daya pemikiran kita. Namun, sejauh manakah kita sedar cara pemikiran kita dan bagaimana kita menguruskannya?

Adakah kita sedar bagaimana kita berfikir dalam sesuatu keadaan?


Metakognitif

Metakognitif ialah satu tahap kognitif yang membolehkan seseorang individu itu merenung dan memikirkan kembali proses kognitif yang berlangsung di mindanya dan mempunyai kawalan secara sedar serta dapat mengawasi proses kognitif itu.

Dalam kata mudah, metakognitif ialah
  • kesedaran berfikir 
  • tentang apa yang diketahui dan 
  • apa yang tidak diketahui.
Sebagai contoh, seorang pelajar universiti mempunyai banyak tugasan dan projek yang perlu dilakukan. Setiap kerja tersebut mempunyai tarikh akhir yang perlu diingati dan tidak dilanggar. Pada masa yang sama, beliau mempunyai tugas tugas persatuan yang perlu dilaksanakan.

Pelajar tersebut sedar bahawa mengikut pengalaman lalu, beliau tidak mampu mengingati kesemua kerja dan tarikh yang diberi. Ini mengakibatkan beliau gagal menyiapkan semua kerja tepat pada waktunya.

Beliau pun berfikir dan bertanya pada diri sendiri, apakah langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

Maka, keputusan yang diambil adalah mencatat kesemua kerja dan tarikh tersebut di atas sticky note yang dilekatkan di dinding meja studinya. Apabila siap satu tugas, maka sticky note itu dibuang satu persatu.

Semasa melakukan tugasan, beliau menilai keadaan semasa. Didapati catatan di sticky note yang ditampal tidak membantu beliau secara maksima.

Maka, beliau telah mengklasifikasikan tugasan tersebut mengikut prioriti dan tahap kesukaran. Kini, sticky notes tersebut menjadi lebih teratur. Selepas itu, barulah segalanya berjalan lancar dan amat baik. 

Penggunaan sticky notes sebagai reminder pelajar universiti tersebut.


Ini menunjukkan:
  • Pelajar tersebut sedar tahap metakognitif tentang kapasiti memorinya untuk mengingati semua perkara serentak.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitif dengan berfikir bagaimana mahu mengatasinya lalu membuat pelan tindakan.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitifnya dengan menganalisa kembali pelan tindakannya. Penambah baikan telah dilakukan selepas itu.

Kesedaran tentang cara atau proses pemikiran yang berlaku ini amat baik didedahkan kepada kanak kanak pada peringkat awal.

Memahami bagaimana minda mereka berfungsi penting dalam membantu proses pembelajaran mereka.

Ini kerana mereka akan menjadi lebih cekap dalam menguruskan setiap perkara sebagai contoh mengulangkaji pelajaran dan dapat membantu mereka lebih fokus dalam melaksanakan kerja itu.

Apabila mereka cekap menguruskan pemikiran mereka sendiri, mereka akan menjadi bijak dalam mengatur strategi dan langkah dalam menyelesaikan sesuatu aktiviti dan masalah.

Persoalannya, bagaimana mungkin kita dapat memperkenalkan konsep metakognitif ini dengan lebih bahasa lebih mudah kepada kanak kanak?


bersambung...


Monday, May 7, 2012

"Connection In Progress!!" (1)

0 comments
Aktiviti membaca tidak akan lagi kelihatan pasif apabila kita menjadikan membaca seperti berfikir.

Apabila kita berfikir, secara automatiknya ia menjadi satu proses yang aktif. Untuk itu, mengadakan koneksi antara buku yang dibaca dengan diri sendiri, buku lain yang pernah dibaca dan dengan isu dunia amatlah digalakkan.

Koneksi ini perlulah diajar secara eksplisit bagi memastikan kanak kanak dapat memahami dan mempraktikkannya.

Ketiga tiga jenis koneksi ini bolehlah diajar mengikut turutan, iaitu dimulakan dengan koneksi dengan diri sendiri dahulu.

Ini kerana, kanak kanak akan lebih mudah mengaktifkan prior knowledge mereka yang berkisar diri mereka sendiri.

Koneksi yang kedua adalah dengan buku atau teks lain yang pernah dibaca sebelum ini.

Semakin lama, semakin banyak buku atau bahan yang didedahkan dan dibaca oleh kanak kanak. Dengan ini, mereka dapat membuat kaitan antara satu buku ke buku yang lain.

Seterusnya ialah koneksi dengan dunia. Koneksi ini adalah koneksi yang sukar untuk kanak kanak lakukan.

Kemampuan untuk menghubungkaitkan apa yang sedang dibaca dengan konsep yang lebih besar iaitu mencantum 'cebisan cebisan' informasi berkaitan dunia luar dengan bahan yang sedang dibaca menuntut kemahiran berfikir secara kritikal.

Namun, ini tidak bermakna kita boleh menjangka jangka kemampuan mereka membuat interpretasi dan koneksi mereka sendiri.

Walaupun kelihatan sukar sesuatu buku itu untuk seseorang kanak kanak, namun skil koneksi dapat membantu mereka menghadam buku itu sehingga tamat.

Aktiviti koneksi ini sebenarnya boleh merangsang kemahiran berfikir konseptual kanak kanak kerana ia menuntut mereka mengesan corak persamaan, memikirkan sesuatu hubungkait.

Meskipun hubungkait tersebut kelihatan tiada kaitan secara dasarnya, namun aktiviti ini berupaya melatih kanak kanak untuk mencari dan mengemukakan hubung kait dan isu yang mendasari perhubungan tersebut.

bersambung...

Tuesday, May 1, 2012

Memaknai Sebuah Cerita (2)

0 comments
...sambungan

Kefahaman dan keupayaan menarik minat membaca dapat terhasil melalui aktiviti koneksi (seperti yang telah dibincangkan sebelum ini). Selain itu, koneksi yang dilakukan juga berfungsi dalam membantu kanak kanak memahami material bacaan yang kadang kala mungkin mengelirukan ataupun bacaan yang sedikit mencabar.

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Ini kerana koneksi mendorong kanak kanak untuk menyoal dirinya sendiri untuk mencari persamaan dalam cerita yang lazim ditemui atau yang tidak pernah dibaca sebelum ini.

Masalah kanak kanak yang kurang gemar membaca salah satu puncanya ialah membaca kelihatan satu aktiviti pasif selain daripada bahan bacaan yang sukar serta tidak lazim ditemui. Namun, ia boleh menjadi aktif sekiranya kanak kanak dapat menyelami atau melibatkan diri secara langsung di dalam material yang dibaca.

Ini dapat dilakukan dengan mengadakan hubungkait antara
  • teks dan diri sendiri
  • teks dan teks
  • teks dan dunia
Dengan melibatkan diri secara aktif dalam proses membaca, pembaca terutamanya dari golongan kanak kanak akan mudah untuk memberi tumpuan dan berminat meneruskan aktiviti membacanya.


Hubungan Antara Teks dan Diri Sendiri


Membuat hubung kait daripada teks kepada diri sendiri
 
Dalam koneksi jenis ini, kanak kanak akan cuba mengaitkan sesuatu cerita yang dibaca dengan kehidupan dirinya sendiri dan pengetahuan terdahulunya atau istilah Inggerisnya "prior knowledge". Prior knowledge ini termasuklah segala pengalaman, peristiwa terdahulu, perasaan dan emosi yang pernah dialami sebelum ini.

Contoh koneksi jenis ini ialah, "Cerita ini mengingatkan saya kepada piknik keluarga di tepi pantai tahun lalu".


Hubungan Antara Teks dan Teks


Membuat hubung kait dari teks kepada teks lain yang lain

Koneksi antara teks dan teks pula bermaksud kanak kanak akan cuba mengaitkan cerita yang sedang dibaca dengan cerita yang pernah dibaca sebelum ini. Ini bermakna, mereka akan cuba mengaitkan karakter, latar dan peristiwa di dalam cerita yang sedang dibaca dengan yang pernah dibaca sebelum ini.

Contoh koneksi ini adalah seperti berikut, "Ciri ciri karakter ini sama dengan karakter dari buku yang pernah saya baca sebelum ini".


 Hubungan Antara Teks dan Dunia

Menmbuat hubung kait dari teks kepada dunia.

Koneksi dengan dunia bermaksud hubungkait dilakukan antara teks dan dunia luar, iaitu tidak lagi terbatas pada pengalaman dan pengetahuan sedia ada dalam diri. Dunia luar yang dimaksudkan adalah segala peristiwa, sejarah, pengalaman orang lain yang dapat diketahui melalui televisyen, internet, filem, kartun, suratkhabar, majalah dan sebagainya.

Perbezaan antara koneksi diri sendiri dan dunia adalah koneksi diri sendiri tertumpu kepada diri sendiri sahaja manakala dunia pula melibatkan aspek yang lebih meluas dan melibatkan orang luar.

Contoh koneksi teks dan dunia ialah, "Saya pernah menonton rancangan tentang situasi yang sama di dalam buku ini".

 Dengan aktiviti ini, minda kanak kanak secara tidak sedar akan menjadi lebih aktif kerana fokus tertumpu dalam memahami teks dengan mencari koneksi yang berkaitan. Bukan itu sahaja, cerita yang dibaca akan menjadi lebih mudah diingati.

Bagaimanakah mengajarkan atau menggunakan strategi koneksi ini dengan menggunakan buku bergambar tanpa perkataan? Akan dibincangkan dalam entri lain "Connection In Progress!!"

Tuesday, April 24, 2012

Memaknai Sebuah Cerita (1)

0 comments
"Get Connected"!!
Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, buku yang menarik adalah buku yang mampu mencetuskan koneksi atau hubungkait antara cerita tersebut dan pengalaman atau pengetahuan sedia ada seseorang individu itu.

Kejayaan membaca bukan sekadar kejayaan dalam menceritakan kembali atau membuat ringkasan daripada cerita tersebut. Kejayaan membaca juga diukur melalui sejauh mana pembacanya dapat menghubungkaitkan cerita tersebut dengan pengalaman atau pengetahuannya.


Menerusi kejayaan ini, kita boleh mengatakan seseorang itu berjaya mencapai tahap kefahaman yang optimum. Menerusi kejayaan ini jugalah, budaya membaca dapat diterapkan kerana pembaca dapat kepuasan dan keseronokan ketika membaca.

Ini bermakna, skil membaca ini amat baik untuk diperkenalkan kepada kanak kanak. Skil ini boleh diperkenalkan ketika membaca buku bergambar tanpa perkataan. Dalam skil ini, terdapat tiga jenis koneksi atau hubungan.

Apakah tiga jenis hubungan tersebut?

bersambung....





Tuesday, April 17, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (5)

0 comments
...sambungan

Sebuah buku yang baik adalah buku yang mampu membuatkan seseorang itu tertarik lalu memberikan seluruh tumpuannya terhadap isi kandungan buku tersebut.

Apabila proses itu terjadi, bermulalah proses yang seterusnya di mana pembaca mula mencari dan membuat perkaitan. Perkaitan yang dimaksudkan adalah perkaitan antara jalan cerita, watak, latar, peristiwa atau apa apa sahaja elemen yang terdapat di dalam buku tersebut dengan diri mereka sendiri dari segi pengalaman terdahulu, kehidupan mereka pada masa itu atau pengetahuan terdahulu.


Buku yang baik adalah buku yang mampu membuatkan si pembacanya "tenggelam" dengan dunianya.
Oleh itu, dalam memilih soalan yang bersesuaian, faktor ini juga perlu diambil kira. Setelah memilih buku yang mempunyai koneksi dengan diri mereka, maka soalan soalan "prompt" yang ingin dilontarkan bolehlah menggunakan tema ini juga.

Berikut merupakan contoh contoh soalan yang membawa koneksi kepada pembaca:

Dalam cerita ini, watak manakah yang mengingatkan kamu kepada sesiapa yang dikenali?


Daripada gambar (di dalam buku) ini, apakah perkara yang berjaya menarik perhatian kamu? Adakah ia mengingatkan kamu kepada sesuatu?


Pada pendapat kamu, apakah perkara yang cuba ingin diketengahkan oleh pelukis buku ini?


Pada pendapat kamu, di manakah bahagian cerita atau plot yang ingin dijadikan titik fokus oleh pelukis buku ini?

Adakah kamu bersetuju dengan jalan cerita ini? Bagaimana pula dengan penamatnya?

Adakah kamu mempunyai pengalaman yang sama atau hampir sama dengan cerita ini?


Bagaimanakah perasaan kamu ketika membaca keseluruhan cerita/ melihat gambar ini? Adakah kamu gembira, sedih, marah, bersimpati atau kesemuanya sekaligus?


Mengapakah kamu mempunyai perasaan sedemikian?


Siapakah watak yang paling berjaya menarik perhatian kamu? Mengapakah beliau yang menjadi pilihan?


Apakah perkara di dalam cerita ini yang paling kamu sukai?


Adakah mana mana watak di dalam cerita ini mempunyai kaitan dengan diri kamu?


Berdasarkan pengalaman kamu sendiri, adakah terdapat mana mana bahagian di dalam cerita ini yang ingin kamu ubah sekiranya kamu yang menjadi pencerita?

Dengan merangsang cetusan koneksi antara cerita di dalam buku dan pengalaman mereka sendiri melalui soalan soalan "prompt", kita dapat merangsang minda dan menjana kreativiti mereka.


Tuesday, April 10, 2012

Aktiviti "Warm Up" (1)

0 comments
Sememangnya, buku bergambar tanpa perkataan adalah buku yang sedikit asing dalam masyarakat kita hari ini. Faktor ia bukan sebahagian daripada komponen pendidikan menjadikan buku ini kurang popular di kalangan masyarakat kita baik di sekolah mahupun di rumah.

Tambahan pula, tiada syarikat penerbitan buku tempatan yang menerbitkan buku seumpama ini menjadikan buku yang lebih popular di negara Barat ini jarang diguna pakai di sini.

Menghilangkan Rasa Janggal 

"Mari kita baca buku ini sama sama?" ajakan dari seorang ibu kepada anaknya yang berusia 7 tahun.

Teruja, lalu terus menyelak halaman pertama buku dicadangkan ibunya, "Ibu, macam mana kakak mahu baca ini, langsung tiada perkataan!"


"Haa...inilah istimewanya buku ini. Walaupun tiada tulisan, tetapi kita masih boleh baca dengan seronoknya," si ibu memberi penjelasan.


"Alah, tak mahulah. Kakak tak pandai," jawab si anak.


"Tidak mengapa, kita boleh baca sama sama. Ibu boleh bimbing kakak macam mana mahu baca buku ini," terang si ibu.

Situasi begini boleh berlaku kepada siapa siapa sahaja. Bukan semua kanak kanak akan teruja apabila melihat buku bergambar tanpa perkataan lebih lebih lagi jika mereka tidak biasa dengannya. Tambahan pula, buku bergambar pertama yang diperkenalkan terlalu berat atau tidak memenuhi citarasa dan minat mereka.

Usah khuatir!

Kita boleh lakukan aktiviti "warm up" sebelum memperkenalkan buku bergambar tanpa perkataan buat pertama kalinya.


Iklan Bergambar

Ya. Aktiviti "warm up" yang dimaksudkan di sini adalah dengan mengadakan aktiviti pra-membaca dengan menggunakan gambar daripada iklan. Banyak syarikat telah menggunakan ruangan seperti papan tanda perniagaan, surat khabar, majalah, internet, poster dan sebagainya untuk mengiklankan produk atau servis mereka.

Semestinya, syarikat syarikat ini akan mengggunakan ruangan iklan yang diperuntukkan sehabis baik mungkin bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami orang ramai. Oleh itu, pelbagai idea yang menarik, jalan cerita dan elemen diguna pakai dalam iklan tersebut termasuklah penggunaan gambar.

Kebiasaannya, gambar yang menjadi pilihan utama kerana ia lebih cepat lagi mudah menarik perhatian orang ramai berbanding perkataan. Tambahan pula, hanya dengan sebuah gambar, mesej lebih jelas disampaikan lagi menyakinkan orang ramai. Maka, kita boleh menggunakan gambar melalui iklan ini sebagai bahan aktiviti "warm up" kita.

Dari Mana Boleh Kita Dapatkan Iklan Bergambar Ini?

Kita boleh gunting, atau fotokopi iklan bergambar ini daripada surat khabar, majalah, poster atau flyer, internet mahupun menangkap gambar sendiri dari mana mana papan iklan yang dijumpai di tepi jalan, di perhentian bas.

Contoh iklan bergambar yang bersifat abstrak yang ditangkap dari dalam komuter sebuah bandar di Australia.


Selain itu, kita juga boleh menggunakan gambar gambar daripada koleksi album kita sendiri seperti gambar aksi aksi lucu, gambar seseuatu kejadian, gambar aksi haiwan peliharaan, gambar pemandangan dan apa apa sahaja yang boleh membawa makna.

 Contoh gambar yang dirakam sendiri. Pelbagai soalan dan cerita boleh diwujudkan hanya melalui sekeping gambar ini sahaja.




Penggunaan poskad, setem, gambar di atas sesetengah kover buku catatan, "screen shot" dari sesebuah filem atau drama dan apa apa sahaja gambar yang dijumpai yang dirasakan sesuai boleh diguna pakai.


Apakah Kriteria Iklan Bergambar yang Boleh Digunakan?

Seperti biasa, ia terpulang kepada objektif, umur kanak kanak dan minat mereka.

Di samping itu, kita juga boleh menetapkan konsep atau nilai yang ingin diterapkan dengan memilih gambar yang tepat. Sebagai contoh,

Adakah kita mahu menyemaikan nilai nilai murni?
Adakah kita mahu mengetengahkan kepentingan menjaga kebersihan?
Adakah kita mahu menarik perhatian dan menghiburkan mereka dengan memaparkan gambar yang lucu? Adakah kita mahu mencungkil kreativiti mereka dengan memaparkan gambar abstrak yang mempunyai makna yang mendalam?
   
Iklan yang dipilih hendaklah menggunakan gambar tanpa perkataan ataupun yang mempunyai tulisan secara minimum.

bersambung....