Showing posts with label berfikir. Show all posts
Showing posts with label berfikir. Show all posts

Monday, May 14, 2012

"Connection In Progress!!" (2)

0 comments
...sambungan

Untuk menjalankan aktiviti ini, kita lakukan teknik pemodelan dengan menunjukkan terlebih dahulu bagaimana proses koneksi boleh berlaku. Langkah langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut.

Panduan Umum Aktiviti Koneksi

Sebelum aktiviti dijalankan:

1.  Buku yang mempunyai jalan cerita yang mudah dipilih terlebih dahulu.

2.  Tajuk yang dipilih adalah tajuk yang dirasakan paling hampir dengan kanak kanak,
     seperti hobi atau minat mereka atau aktiviti yang biasa dilakukan mahupun tempat
     yang biasa dilawati (contoh untuk memulakan koneksi teks kepada diri sendiri).

3.  Ulang kaji buku tersebut dengan membacanya terlebih dahulu dan aktiviti koneksi dengan diri kita sendiri dilakukan. Apabila tiba di muka surat yang mempunyai kisah yang serupa pernah kita lalui, berhenti sejenak untuk fikirkan kembali peristiwa itu.

4.  Kemudian, peristiwa itu dibuat catatan di atas sticky note dan ditampal pada
     muka surat tersebut.

5.  Proses ini diulang pada setiap muka surat yang mempunyai kisah yang sama atau hampir sama kita lalui.

Sticky note yang pelbagai warna dan bentuk ini amat praktikal dalam mencatatkan segala perkara yang difikirkan supaya tidak mudah lupa.


Semasa aktiviti dijalankan:

1.  Sebelum memulakan apa apa sekalipun teknik, penerangan tentang matlamat aktiviti dan kepentingan skil membuat koneksi ini diterangkan terlebih dahulu.

2.  Skil membuat koneksi dijelaskan dengan lebih terperinci. Contoh cara mendapatkan skil mula ditunjukkan (seperti langkah yang seterusnya).

3.  Cerita yang dipilih dibacakan dengan kuat. Apabila tiba di muka surat yang telah kita tampalkan sticky note, berhenti. Proses berfikir (yang berlaku di minda kita) semasa melakukan aktiviti koneksi disebutkan dengan jelas kepada kanak kanak.

4.  Proses berfikir dengan sedar tentang apa yang minda kita sedang fikirkan seperti aktiviti nombor 3 disebut metakognitif. Istilah ini turut diterangkan kepada kanak-kanak.

5.  Apakah yang boleh membantu kita supaya aktiviti koneksi itu berjalan lancar? Soalan atau ayat ayat prompt digunakan dan ditunjukkan penggunaannya kepada kanak-kanak.


6.  Sejurus soalan atau ayat prompt digunakan, jawapan diberikan berdasarkan catatan kita pada sticky note tersebut.

7.  Bagaimana kita boleh memberikan jawapan tersebut? Di sini, kita boleh terangkan apa itu skemata dan bagaimana ia berfungsi dalam membantu aktiviti koneksi kita.
Tip 

Kita tidak perlu rasa gusar memperkenalkan istilah yang dirasakan canggih atau sukar kepada kanak kanak. Seperti apa yang selalu dikatakan orang, 'jangan memandang rendah kebolehan kanak kanak'.

Sebaliknya, istilah ini hendaklah selalu diulang sebut supaya mereka jelas lagi ingat dan sedar akan kepentingannya mengetahui istilah ini.

Di dalam aktiviti ini, dua istilah sukar yang diperkenalkan adalah metakognitif dan skemata. 

Kita boleh memperkenalkan istilah baru ini pada hari sebelum aktiviti koneksi ini dilakukan bagi memudahkan lagi kefahaman mereka

(kedua dua istilah ini diperjelaskan dengan lebih lanjut di dalam entri bertajuk Metakognitif? Skemata? Apakah itu?).

Persoalan yang seterusnya,

Apakah prompt yang boleh digunakan?

Apakah contoh skrip aktiviti koneksi menggunakan buku bergambar tanpa perkataan yang boleh diberikan?

bersambung...

Wednesday, May 9, 2012

Metakognitif? Skemata? Apakah itu? (1)

0 comments
Semua perkara atau aktiviti yang kita lakukan sehari hari menuntut penggunaan daya pemikiran kita. Namun, sejauh manakah kita sedar cara pemikiran kita dan bagaimana kita menguruskannya?

Adakah kita sedar bagaimana kita berfikir dalam sesuatu keadaan?


Metakognitif

Metakognitif ialah satu tahap kognitif yang membolehkan seseorang individu itu merenung dan memikirkan kembali proses kognitif yang berlangsung di mindanya dan mempunyai kawalan secara sedar serta dapat mengawasi proses kognitif itu.

Dalam kata mudah, metakognitif ialah
  • kesedaran berfikir 
  • tentang apa yang diketahui dan 
  • apa yang tidak diketahui.
Sebagai contoh, seorang pelajar universiti mempunyai banyak tugasan dan projek yang perlu dilakukan. Setiap kerja tersebut mempunyai tarikh akhir yang perlu diingati dan tidak dilanggar. Pada masa yang sama, beliau mempunyai tugas tugas persatuan yang perlu dilaksanakan.

Pelajar tersebut sedar bahawa mengikut pengalaman lalu, beliau tidak mampu mengingati kesemua kerja dan tarikh yang diberi. Ini mengakibatkan beliau gagal menyiapkan semua kerja tepat pada waktunya.

Beliau pun berfikir dan bertanya pada diri sendiri, apakah langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

Maka, keputusan yang diambil adalah mencatat kesemua kerja dan tarikh tersebut di atas sticky note yang dilekatkan di dinding meja studinya. Apabila siap satu tugas, maka sticky note itu dibuang satu persatu.

Semasa melakukan tugasan, beliau menilai keadaan semasa. Didapati catatan di sticky note yang ditampal tidak membantu beliau secara maksima.

Maka, beliau telah mengklasifikasikan tugasan tersebut mengikut prioriti dan tahap kesukaran. Kini, sticky notes tersebut menjadi lebih teratur. Selepas itu, barulah segalanya berjalan lancar dan amat baik. 

Penggunaan sticky notes sebagai reminder pelajar universiti tersebut.


Ini menunjukkan:
  • Pelajar tersebut sedar tahap metakognitif tentang kapasiti memorinya untuk mengingati semua perkara serentak.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitif dengan berfikir bagaimana mahu mengatasinya lalu membuat pelan tindakan.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitifnya dengan menganalisa kembali pelan tindakannya. Penambah baikan telah dilakukan selepas itu.

Kesedaran tentang cara atau proses pemikiran yang berlaku ini amat baik didedahkan kepada kanak kanak pada peringkat awal.

Memahami bagaimana minda mereka berfungsi penting dalam membantu proses pembelajaran mereka.

Ini kerana mereka akan menjadi lebih cekap dalam menguruskan setiap perkara sebagai contoh mengulangkaji pelajaran dan dapat membantu mereka lebih fokus dalam melaksanakan kerja itu.

Apabila mereka cekap menguruskan pemikiran mereka sendiri, mereka akan menjadi bijak dalam mengatur strategi dan langkah dalam menyelesaikan sesuatu aktiviti dan masalah.

Persoalannya, bagaimana mungkin kita dapat memperkenalkan konsep metakognitif ini dengan lebih bahasa lebih mudah kepada kanak kanak?


bersambung...


Tuesday, May 1, 2012

Memaknai Sebuah Cerita (2)

0 comments
...sambungan

Kefahaman dan keupayaan menarik minat membaca dapat terhasil melalui aktiviti koneksi (seperti yang telah dibincangkan sebelum ini). Selain itu, koneksi yang dilakukan juga berfungsi dalam membantu kanak kanak memahami material bacaan yang kadang kala mungkin mengelirukan ataupun bacaan yang sedikit mencabar.

Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Ini kerana koneksi mendorong kanak kanak untuk menyoal dirinya sendiri untuk mencari persamaan dalam cerita yang lazim ditemui atau yang tidak pernah dibaca sebelum ini.

Masalah kanak kanak yang kurang gemar membaca salah satu puncanya ialah membaca kelihatan satu aktiviti pasif selain daripada bahan bacaan yang sukar serta tidak lazim ditemui. Namun, ia boleh menjadi aktif sekiranya kanak kanak dapat menyelami atau melibatkan diri secara langsung di dalam material yang dibaca.

Ini dapat dilakukan dengan mengadakan hubungkait antara
  • teks dan diri sendiri
  • teks dan teks
  • teks dan dunia
Dengan melibatkan diri secara aktif dalam proses membaca, pembaca terutamanya dari golongan kanak kanak akan mudah untuk memberi tumpuan dan berminat meneruskan aktiviti membacanya.


Hubungan Antara Teks dan Diri Sendiri


Membuat hubung kait daripada teks kepada diri sendiri
 
Dalam koneksi jenis ini, kanak kanak akan cuba mengaitkan sesuatu cerita yang dibaca dengan kehidupan dirinya sendiri dan pengetahuan terdahulunya atau istilah Inggerisnya "prior knowledge". Prior knowledge ini termasuklah segala pengalaman, peristiwa terdahulu, perasaan dan emosi yang pernah dialami sebelum ini.

Contoh koneksi jenis ini ialah, "Cerita ini mengingatkan saya kepada piknik keluarga di tepi pantai tahun lalu".


Hubungan Antara Teks dan Teks


Membuat hubung kait dari teks kepada teks lain yang lain

Koneksi antara teks dan teks pula bermaksud kanak kanak akan cuba mengaitkan cerita yang sedang dibaca dengan cerita yang pernah dibaca sebelum ini. Ini bermakna, mereka akan cuba mengaitkan karakter, latar dan peristiwa di dalam cerita yang sedang dibaca dengan yang pernah dibaca sebelum ini.

Contoh koneksi ini adalah seperti berikut, "Ciri ciri karakter ini sama dengan karakter dari buku yang pernah saya baca sebelum ini".


 Hubungan Antara Teks dan Dunia

Menmbuat hubung kait dari teks kepada dunia.

Koneksi dengan dunia bermaksud hubungkait dilakukan antara teks dan dunia luar, iaitu tidak lagi terbatas pada pengalaman dan pengetahuan sedia ada dalam diri. Dunia luar yang dimaksudkan adalah segala peristiwa, sejarah, pengalaman orang lain yang dapat diketahui melalui televisyen, internet, filem, kartun, suratkhabar, majalah dan sebagainya.

Perbezaan antara koneksi diri sendiri dan dunia adalah koneksi diri sendiri tertumpu kepada diri sendiri sahaja manakala dunia pula melibatkan aspek yang lebih meluas dan melibatkan orang luar.

Contoh koneksi teks dan dunia ialah, "Saya pernah menonton rancangan tentang situasi yang sama di dalam buku ini".

 Dengan aktiviti ini, minda kanak kanak secara tidak sedar akan menjadi lebih aktif kerana fokus tertumpu dalam memahami teks dengan mencari koneksi yang berkaitan. Bukan itu sahaja, cerita yang dibaca akan menjadi lebih mudah diingati.

Bagaimanakah mengajarkan atau menggunakan strategi koneksi ini dengan menggunakan buku bergambar tanpa perkataan? Akan dibincangkan dalam entri lain "Connection In Progress!!"

Wednesday, February 8, 2012

Menariknya Membaca Buku Tanpa Perkataan! (2)

0 comments
...sambungan

Otak Kanan dan Otak Kiri


Apabila berlangsungnya sesi soal jawab antara pencerita (ibu bapa atau guru) dan kanak kanak, kita sebenarnya telah merangsang skil berfikir secara kritikal. Ini adalah kerana untuk memahami jalan cerita atau maksud sebenar penulis, kanak kanak perlu mentafsir dan menganalisa setiap gambar dengan teliti.

Ini bermakna, kita bukan sahaja merangsang kanak kanak untuk menggunakan otak kiri mereka tetapi turut mengaktifkan otak kanan melalui skil pemikiran visual mereka. Bukan itu sahaja, kita juga menggalakkan mereka untuk menjadi lebih kreatif dengan mengaktifkan otak kanan mereka.



Menggabungjalin fungsi kedua dua belah otak (gambar hiasan)


Mempelbagaikan Cara Membaca Di Rumah

Terdapat banyak cara yang boleh digunakan dalam menggunakan buku tanpa perkataan. Ini bergantung kepada umur kanak kanak, keupayaan minda, objektif yang dicapai, persekitaran dan masa.

Antara kaedah membaca yang boleh dijalankan antara ibu bapa dan anak anak:

Cerita waktu tidur Ibu bapa menggunakan ruang masa sebelum tidur untuk menceritakan kisah yang terdapat di dalam buku yang dipilih. Cara ini memerlukan kreativiti ibu bapa 100% untuk mengintepretasikan gambar gambar. Ini kerana mereka bertindak sebagai tukang cerita dari mula sehingga habis.



Bercerita sebelum tidur menggunakan buku tanpa perkataan.


Namun, sekali sekala, boleh lontarkan soalan mudah kepada si anak. Jika ada soalan yang diajukan anak, ibu bapa boleh menjawabnya terus atau bertindak dengan bertanyakan kembali.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berkongsi tugas bercerita dengan anak melalui bertukar giliran bercerita. Selain dapat membantu perkembangan pertuturan, ini juga masa sesuai untuk mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan si anak.


Bacaan terbimbing Dalam cara ini, ibu bapa akan membantu anak anak dalam proses membaca. Selain membimbing mereka membaca dengan lancar dan memahami jalan cerita, ibu bapa akan turut membantu mereka dalam mengaplikasikan strategi membaca. Antara bantuan dan strategi itu ialah kiu konteks, klu literal, ramalan, pengetahuan latar, prompt, menanyakan soalan, .

Walaupun bacaan ini sering digunakan untuk anak anak di peringkat pra-sekolah, sebenarnya kita bebas untuk mengubah suai strategi mengikut keperluan anak anak tidak kira umur mereka. Ini kerana, setiap buku adalah berbeza dan semakin sukar sesebuah buku itu, semakin banyak strategi perlu digunakan atau strategi baru hendaklah dipelajari.

Bacaan ini amat penting kerana melalui pengalaman ini, mereka akan dapat mengaplikasikannya apabila membaca buku yang lebih sukar dan ketika mereka membaca buku secara sendirian atau bebas.


Bacaan bebas/ sendirian Bacaan ini merupakan saat di mana anak anak tidak lagi perlukan bimbingan ibu bapa. Mereka sudah berupaya menggunakan strategi dan teknik membaca yang telah dilatih sebelum ini.

Walaupun demikian, ibu bapa masih lagi boleh menjalankan pelbagai aktiviti melalui pertandingan atau persebahan bercerita, catatan di buku log atau blog, buku skrap, sesi refleksi bersama ibu bapa, penggunaan sticky notes dan bermacam macam lagi aktiviti yang menarik untuk menguji kefahaman mereka terhadap buku yang telah dibaca.



Kebolehan membaca secara sendirian tanpa bantuan merupakan gol yang ingin dicapai (gambar hiasan).

Cara Membaca Bersama Shasha

Memandangkan ini adalah kali pertama Shasha membaca buku bergambar tanpa perkataan, cara bacaan terbimbing telah dipilih dengan diberikan bantuan atau support secara maksimum. Lebih lebih lagi, faktor umur Shasha juga diambil kira.

Sebelum buku bertajuk Rainstorm itu dipilih, Shasha terlebih dahulu diberi dua pilihan tajuk buku yang berbeza tetapi tahap kesusahannya hampir sama.


bersambung...

Friday, February 3, 2012

Kelebihan Buku Tanpa Perkataan

0 comments

Antara buku bergambar tanpa perkataan yang terdapat di pasaran.




Apa kelebihan buku bergambar tanpa perkataan berbanding buku cerita yang lain?

  • dapat merangsang perkembangan bahasa lisan kanak kanak - melalui rekaan cerita
  • dapat mengaitkan cerita dengan pengalaman diri, budaya, nilai murni dan sebagainya
  • melatih skil pemahaman kanak kanak
  • menghubungjalin perkembangan skil pemahaman dan skil bahasa lisan melalui penceritaan kembali jalan cerita serta makna di sebalik cerita
  • meningkatkan kosa kata
  • membantu perkembangan skil membaca
  • membantu kanak kanak mula menulis dengan struktur ayat yang sempurna
  • meningkatkan self-esteem kanak kanak melalui penceritaan semula pada orang lain dan apabila didengari
  • meningkatkan komunikasi antara dua hala/ banyak hala
  • dapat memperkenalkan konsep atau struktur sebuah cerita yang baik - mempunyai awalan atau pengenalan, badan atau tengah dan penutup
  • memupuk cara pengendalian buku yang sebenarnya - membaca dari kiri ke kanan, cerita yang baik ada pengajaran, nilai murni dan sebagainya
  • memupuk kreativiti
  • merangsang dan memupuk "visual thinking" di dalam otak kanan
  • dapat mengenali dan mempelajari tentang emosi dan perasaan lebih dalam
  • memahami sifat karekter manusia/objek/haiwan/tumbuhan/negara yang berbeza
  • menguasai skil menjawab soalan dengan baik
  • menajamkan daya tumpuan, koordinasi mata dan print awareness

Thursday, February 2, 2012

Pekembangan Awal Literasi

0 comments
Apabila kita membicarakan isu berkaitan perkembangan awal literasi, kita cenderung merujuk kepada penguasaan membaca kanak kanak di peringkat awal. Hakikatnya, perkembangan literasi tidak tertumpu hanya kepada perkembangan kemahiran membaca, malah melibatkan pelbagai kemahiran lain yang sama penting.

Antara kemahiran tersebut ialah:
  • kemahiran bahasa lisan
  • kemahiran menyoal dan menjawab dan
  • kemahiran berfikir secara kritikal.
Buku Bergambar Tanpa Perkataan Vs. Dengan Perkataan

Buku bergambar adalah buku yang mengandungi kisah yang diceritakan melalui ayat ayat dan ilustrasi. Ilustrasi yang dihasilkan dapat meningkatkan lagi pemahaman pembacanya.

Sebuah buku bergambar yang paling baik adalah buku yang seimbang peranan ayat ayat dan ilustrasinya dalam menyampaikan jalan cerita dan kefahaman. Ini bermakna, tanpa ilustrasi, jalan cerita mungkin akan menjadi kurang sempurna.

Ilustrasi membantu pemahaman jalan cerita.

Kebiasaannya, apabila kanak kanak membaca buku cerita bergambar, tumpuan diberikan kepada proses pembacaan. Tidak dapat dinafikan, kadang kala, proses pemahaman diabaikan secara tidak sengaja. Ini gara gara terlalu fokus kepada kelancaran membaca.

Apabila fokus diberikan kepada kelancaran membaca, masalah akan timbul pada sesetengah kanak kanak terutamanya mereka yang sememangnya baru belajar membaca, mempunyai masalah disleksia dan sebagainya.

Aktiviti membaca yang sepatutnya seronok bertukar menjadi sesuatu yang tidak disukai kerana otak telah terakam secara automatik bahawa membaca itu sukar. Tambahan pula, jika buku pertama yang diperkenalkan pula terlalu panjang teksnya atau tahap kesusahan tidak bersesuaian dengan kemampuan, ini mengundang frustration pada kanak kanak.

Oleh itu, buku bergambar tanpa perkataan atau wordless picture book dikatakan amat bersesuaian dalam membantu perkembangan awal literasi kanak kanak terutamanya mereka yang di awal usia dan mengalami masalah membaca.

Wordless picture book: penceritaan melalui gambar sahaja.

Tanpa teks, kanak kanak bebas menceritakan kembali pemahaman mereka dan ini merangsang kemahiran lisan mereka. Di samping itu, soalan soalan yang diajukan dapat menguatkan lagi skil menjawab soalan di samping kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Namun begitu, penggunaan buku ini hendaklah disesuaikan mengikut tahap umur dan kemampuan. Sebagai contoh, buku yang bertajuk Is It Larger Is It Smaller dari Hana Toban boleh digunakan sebagai permulaan.

Buku konsep ini tidak mempunyai perkataan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada foto foto untuk memperkenalkan konsep besar dan kecil. Bukan sahaja memahami konsep, malah kanak kanak dapat menambah kosa kata baru dalam kamus minda mereka iaitu perkataan besar dan kecil.


Buku konsep tanpa perkataan.

Namun demikian, ini tidak bermakna buku bergambar tidak bagus untuk kanak kanak, tetapi adalah lebih sempurna jika proses pengenalan pendidikan awal literasi itu dilakukan berperingkat dan dimulakan dengan sesuatu yang lebih mudah lagi menarik.