Showing posts with label menyoal. Show all posts
Showing posts with label menyoal. Show all posts

Wednesday, May 9, 2012

Metakognitif? Skemata? Apakah itu? (1)

0 comments
Semua perkara atau aktiviti yang kita lakukan sehari hari menuntut penggunaan daya pemikiran kita. Namun, sejauh manakah kita sedar cara pemikiran kita dan bagaimana kita menguruskannya?

Adakah kita sedar bagaimana kita berfikir dalam sesuatu keadaan?


Metakognitif

Metakognitif ialah satu tahap kognitif yang membolehkan seseorang individu itu merenung dan memikirkan kembali proses kognitif yang berlangsung di mindanya dan mempunyai kawalan secara sedar serta dapat mengawasi proses kognitif itu.

Dalam kata mudah, metakognitif ialah
  • kesedaran berfikir 
  • tentang apa yang diketahui dan 
  • apa yang tidak diketahui.
Sebagai contoh, seorang pelajar universiti mempunyai banyak tugasan dan projek yang perlu dilakukan. Setiap kerja tersebut mempunyai tarikh akhir yang perlu diingati dan tidak dilanggar. Pada masa yang sama, beliau mempunyai tugas tugas persatuan yang perlu dilaksanakan.

Pelajar tersebut sedar bahawa mengikut pengalaman lalu, beliau tidak mampu mengingati kesemua kerja dan tarikh yang diberi. Ini mengakibatkan beliau gagal menyiapkan semua kerja tepat pada waktunya.

Beliau pun berfikir dan bertanya pada diri sendiri, apakah langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

Maka, keputusan yang diambil adalah mencatat kesemua kerja dan tarikh tersebut di atas sticky note yang dilekatkan di dinding meja studinya. Apabila siap satu tugas, maka sticky note itu dibuang satu persatu.

Semasa melakukan tugasan, beliau menilai keadaan semasa. Didapati catatan di sticky note yang ditampal tidak membantu beliau secara maksima.

Maka, beliau telah mengklasifikasikan tugasan tersebut mengikut prioriti dan tahap kesukaran. Kini, sticky notes tersebut menjadi lebih teratur. Selepas itu, barulah segalanya berjalan lancar dan amat baik. 

Penggunaan sticky notes sebagai reminder pelajar universiti tersebut.


Ini menunjukkan:
  • Pelajar tersebut sedar tahap metakognitif tentang kapasiti memorinya untuk mengingati semua perkara serentak.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitif dengan berfikir bagaimana mahu mengatasinya lalu membuat pelan tindakan.
  • Pelajar itu menggunakan skil metakognitifnya dengan menganalisa kembali pelan tindakannya. Penambah baikan telah dilakukan selepas itu.

Kesedaran tentang cara atau proses pemikiran yang berlaku ini amat baik didedahkan kepada kanak kanak pada peringkat awal.

Memahami bagaimana minda mereka berfungsi penting dalam membantu proses pembelajaran mereka.

Ini kerana mereka akan menjadi lebih cekap dalam menguruskan setiap perkara sebagai contoh mengulangkaji pelajaran dan dapat membantu mereka lebih fokus dalam melaksanakan kerja itu.

Apabila mereka cekap menguruskan pemikiran mereka sendiri, mereka akan menjadi bijak dalam mengatur strategi dan langkah dalam menyelesaikan sesuatu aktiviti dan masalah.

Persoalannya, bagaimana mungkin kita dapat memperkenalkan konsep metakognitif ini dengan lebih bahasa lebih mudah kepada kanak kanak?


bersambung...


Tuesday, April 17, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (5)

0 comments
...sambungan

Sebuah buku yang baik adalah buku yang mampu membuatkan seseorang itu tertarik lalu memberikan seluruh tumpuannya terhadap isi kandungan buku tersebut.

Apabila proses itu terjadi, bermulalah proses yang seterusnya di mana pembaca mula mencari dan membuat perkaitan. Perkaitan yang dimaksudkan adalah perkaitan antara jalan cerita, watak, latar, peristiwa atau apa apa sahaja elemen yang terdapat di dalam buku tersebut dengan diri mereka sendiri dari segi pengalaman terdahulu, kehidupan mereka pada masa itu atau pengetahuan terdahulu.


Buku yang baik adalah buku yang mampu membuatkan si pembacanya "tenggelam" dengan dunianya.
Oleh itu, dalam memilih soalan yang bersesuaian, faktor ini juga perlu diambil kira. Setelah memilih buku yang mempunyai koneksi dengan diri mereka, maka soalan soalan "prompt" yang ingin dilontarkan bolehlah menggunakan tema ini juga.

Berikut merupakan contoh contoh soalan yang membawa koneksi kepada pembaca:

Dalam cerita ini, watak manakah yang mengingatkan kamu kepada sesiapa yang dikenali?


Daripada gambar (di dalam buku) ini, apakah perkara yang berjaya menarik perhatian kamu? Adakah ia mengingatkan kamu kepada sesuatu?


Pada pendapat kamu, apakah perkara yang cuba ingin diketengahkan oleh pelukis buku ini?


Pada pendapat kamu, di manakah bahagian cerita atau plot yang ingin dijadikan titik fokus oleh pelukis buku ini?

Adakah kamu bersetuju dengan jalan cerita ini? Bagaimana pula dengan penamatnya?

Adakah kamu mempunyai pengalaman yang sama atau hampir sama dengan cerita ini?


Bagaimanakah perasaan kamu ketika membaca keseluruhan cerita/ melihat gambar ini? Adakah kamu gembira, sedih, marah, bersimpati atau kesemuanya sekaligus?


Mengapakah kamu mempunyai perasaan sedemikian?


Siapakah watak yang paling berjaya menarik perhatian kamu? Mengapakah beliau yang menjadi pilihan?


Apakah perkara di dalam cerita ini yang paling kamu sukai?


Adakah mana mana watak di dalam cerita ini mempunyai kaitan dengan diri kamu?


Berdasarkan pengalaman kamu sendiri, adakah terdapat mana mana bahagian di dalam cerita ini yang ingin kamu ubah sekiranya kamu yang menjadi pencerita?

Dengan merangsang cetusan koneksi antara cerita di dalam buku dan pengalaman mereka sendiri melalui soalan soalan "prompt", kita dapat merangsang minda dan menjana kreativiti mereka.


Friday, March 30, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (4)

0 comments
...sambungan

Membina Kefahaman Di Samping Menguji Kemahiran Berfikir Tinggi


Buku yang bagus adalah buku yang dapat merangsang kemahiran berfikir kanak kanak


Seperti di dalam post sebelum ini, terdapat tiga peringkat kemahiran berfikir tinggi di dalam Taxanomy Bloom. Tiga peringkat tersebut adalah:
  • Kemahiran Menganalisa
  • Kemahiran Menilai
  • Kemahiran Mencipta

Untuk memastikan kefahaman dan mencetus idea idea baru dengan 'mencuit' kreativiti kanak kanak dalam berfikir peringkat tertinggi, soalan soalan "prompt" berikut amat sesuai untuk ditanyakan. Berikut adalah contoh contoh soalannya.

Ini adalah gambar yang terakhir di dalam buku ini. Jika cerita ini ada sambungannya, apakah yang akan berlaku?

Cuba lihat kembali kover buku. Adakah terdapat kaitan antara kover tersebut dengan gambar gambar yang terdapat di dalamnya? Adakah terdapat persamaan/perbezaan?

Pada pendapat kamu, mengapakah gambar itu digunakan sebagai kover? Adakah ia sesuai?

Melalui gambar gambar di dalam cerita ini, adakah sebarang objek atau perkara yang diulang ulang? Pada pendapat kamu, mengapakah penulis melakukan demikian/ apakah yang cuba ingin disampaikan sebenarnya?

Cuba lihat dan fikirkan tajuk buku ini. Bagaimanakah tajuk buku ini menunjukkan adanya kaitan dengan cerita ini?

Adakah tajuk ini benar benar bersesuaian dengan jalan cerita ini/ adakah tajuk ini benar benar menggambarkan cerita ini?

Apakah pendapat kamu tentang watak utama cerita ini? adakah kamu menyukainya?

Bahagian manakah yang menjadi kekeliruan atau tidak difahami?

Sebelum kita membaca sebentar tadi, kita telah melakukan ramalan apa yang akan berlaku melalui kover dan tajuk buku ini. Sekarang, kita telah pun selesai. Adakah terdapat perbezaan/ persamaan antara ramalan dan cerita sebenar? Apakah perbezaan/ persamaan itu?

Pada pendapat kamu, mengapakah penulis ini memilih tajuk untuk buku ini? Jika kamu diberi peluang untuk mengubahnya, apakah tajuk lain yang difikirkan juga bagus untuk digantikan?

(setelah kanak kanak memilih tajuk) Mengapakah tajuk itu yang difikirkan bersesuaian? Sebelum memilih tajuk itu adakah terdapat tajuk tajuk lain yang juga dirasakan bersesuaian? Nyatakan.

Adakah terdapat gambar atau objek di dalam buku ini yang kamu tidak fahami atau yang ingin kamu persoalkan?

Mengapakah cerita ini berlaku seperti di tempat yang digambarkan dalam buku ini?

Dengan melihat keseluruhan jalan cerita di dalam buku ini, gambar manakah yang paling penting di dalam cerita ini? Mengapakah gambar itu dipilih?

Berapakah masa yang diambil untuk kejadian di dalam cerita ini berlaku?/ Berapa lamakah cerita ini berlangsung?

Siapakah yang sebenarnya bertindak sebagai pencerita di dalam cerita ini?

Pada pendapat kamu, mengapakah cerita ini mempunyai kesudahan sebegini?


bersambung....

Thursday, March 29, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (3)

0 comments
...sambungan

Mengfokuskan Elemen Latar Dalam Sesebuah Cerita

Latar sesebuah cerita merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah cerita. Tanpa latar, jalan cerita akan menjadi kurang sempurna dan ada kemungkinan, imaginasi kanak kanak terhadap cerita tersebut juga akan tersekat.

Lokasi cerita, cuaca atau musim, tahun cerita itu berlangsung, keadaan sosial dan budaya adalah contoh contoh elemen latar dalam sesebuah cerita. Kadang kala, dalam sesebuah cerita, elemen latar ini tidak diberi penekanan kerana fokus hanya diberikan dalam penceritaan karakter dan pembangunan plot.

Sebenarnya, mengkaji latar sesebuah cerita amat baik dalam kita boleh mendedahkan kanak kanak dengan pelbagai subjek baru meskipun mereka masih kecil lagi. Dengan mengkaji latar cerita, kita boleh dedahkan mereka dan seterusnya menimbulkan kesedaran tentang perbezaan kebudayaan, warisan, keadaan sosial sesebuah masyarakat, dan menambah pengetahuan tentang keadaan geografi dan entiti sesebuah tempat.



Elemen Latar Di Dalam Buku Bergambar Tanpa Perkataan

Menariknya buku bergambar tanpa perkataan, contoh contoh elemen latar yang dinyatakan sebentar tadi boleh menjadi misteri memandangkan ia digambarkan secara bersahaja, melalui visual sepenuhnya, bukan melalui perkataan.

Sebagai contoh, buku bertajuk Window dari Jeannie Baker ini mempunyai Australia sebagai lokasinya. Ini dapat dipastikan melalui pemerhatian terhadap latar, di mana ada seekor kangaru liar di luar kawasan rumah.

Namun begitu, bukan semua kanak kanak berupaya untuk mengesan kehadiran kangaru tersebut lebih lebih lagi, ia bukanlah sebahagian daripada watak utama cerita. Lebih lebih lagi, figura kangaru itu amat kecil dan ada kemungkinan, ia boleh terlepas pandang.

Tambahan pula, bukan semua kanak kanak tahu bahawa haiwan seperti kangaru merupakan lambang negara Australia dan haiwan ini kadang kala boleh dijumpai di kawasan hutan Australia.

Oleh itu, mengajukan soalan "prompt" yang bersesuaian diikuti penerangan fakta atau informasi baru merupakan satu strategi yang baik untuk merangsang daya pemikiran mereka di samping mendedahkan mereka perkara perkara baru.

Buku yang menjadi kegemaran ibu bapa di Australia ini juga sering kali digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran guru guru di sekolah. Antara pengiktirafan yang telah diberikan adalah:

1992 Australian Children’s Bk. Council Picture Book of the Year Award
1992 Young Australian’s Best Book Award (Picture Books.)
1992 Shortlisted Kate Greenaway Medal UK
1992 Notable Book in the Field of Social Sciences USA



Satu lagi contoh hasil karya Jeannie Baker adalah Mirror, yang telah mendapat pengiktirafan

2011 Children's Book Council of Australia Picture Book of the Year ('Hamlet' also won)
2011 Australian Indie Award Best children's book
2011 The English Association and the UK Literary Association's 4-11 Award: Best Children's Illustrated Book.


Elemen latar menjadi kekuatan jalan cerita buku "dua dalam satu" ini di mana ia memaparkan latar kehidupan dua orang kanak kanak lelaki yang berbeza lokasi, budaya dan sosial, namun sedikit sebanyak ada titik persamaan di antara kedua duanya.


Buku "dua dalam satu" karya terbaru Jeannie Baker.

Banyak ilmu ilmu baru boleh dicari gali melalui buku ini dan semua ini boleh dilakukan dengan mengajukan soalan soalan "prompt" sebagai pencetus.


Contoh Contoh Soalan

Berikut adalah antara contoh contoh soalan "prompt" yang mengfokuskan elemen latar sesebuah cerita. Terdapat juga soalan yang boleh membawa kepada aktiviti baru untuk dilakukan.

Apakah yang boleh dilihat dari latar belakang (rumah) ini?

Gambarkan cara pemakaian watak/ cuaca/ suasana lokasi cerita ini.


Bagaimanakah keadaan masyarakat di sekeliling di dalam cerita ini?


Berdasarkan pemerhatian latar, cara pemakaian watak dan cuaca, di manakah lokasi cerita ini berlaku?


Pada pendapat kamu, bilakah/ pada tahun apakah kejadian ini berlaku?


Adakah kejadian ini berlaku di dalam atau di luar negara?


Adakah cerita ini berlaku di dalam atau di luar rumah/bangunan?


Adakah cerita ini berlaku pada masa dahulu atau pada zaman sekarang? Bagaimanakah kamu mengetahuinya?


(menyelak halaman yang seterusnya) Di manakah pula lokasi cerita ini berlaku? Adakah ia
sama dengan lokasi sebelum ini?


Adakah lokasi ini sama dengan lokasi di kover hadapan buku?


Pernahkah kamu ke tempat sama atau hampir sama seperti yang ditunjukkan di dalam gambar ini? Ceritakan.


Jika kamu ingin melukiskan kembali tempat tersebut, apakah perkara yang ingin ditambah atau perbezaan yang akan dilakukan?


bersambung....

Wednesday, March 21, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (2)

0 comments
..sambungan

Urutan Penceritaan

Jika objektif kita pada hari itu adalah untuk mengajar urutan cerita kepada kanak kanak, maka soalan solaan berikut boleh diajukan semasa menggunakan buku bergambar tanpa perkataan ini.

Apabila aktiviti scanning buku tersebut selesai, contoh contoh soalan yang boleh diajukan adalah seperti berikut (soalan diajukan mengikut urutan):


Apakah yang berlaku pada permulaan cerita ini?
Apakah yang berlaku di pertengahan cerita ini?
Apakah yang berlaku di pengakhiran cerita ini?

Kadang kadang, halaman buku yang sedang diperhatikan mempunyai klu klu tertentu yang boleh membawa kepada beberapa andaian apa yang akan berlaku selepas itu dan seterusnya.

Terdapat juga halaman yang menunjukkan sesuatu proses/aktiviti yang sedang dilakukan, contohnya aktiviti memasak. Oleh itu, kita boleh bertanyakan langkah memasak yang seterusnya selepas misalnya bahan A dimasukkan ke dalam adunan. Contoh soalan:

Pada pendapat kamu, apakah yang akan berlaku/ langkah yang seterusnya?

Jika gambar melibatkan sebuah perjalanan pengembaraan, atau pemandangan, kita boleh bertanyakan:

Ke manakah gambar/ perjalanan/ pemgembaraan ini akan membawa kita?

Untuk lebih menarik lagi, kita boleh menguji kemahiran menganalisa mereka melalui soalan berikut dengan merujuk pada gambar pertama sekali (gambar di permulaan cerita):

Pada pendapat kamu, apakah yang telah berlaku sebelum gambar/ cerita ini bermula?

Kita juga boleh menguji kemahiran mengingati kanak kanak melalui soalan berikut:

Pernahkah kamu membaca atau mendengar kisah yang mempunyai permulaan/ pengakhiran yang sama seperti buku ini?

Dengan ini, kanak kanak dapat mengaitkan pengalaman mereka dan pastinya mereka teruja untuk menceritakan kembali kisah tersebut lebih lebih ia sebuah kisah yang digemari.


Mengfokuskan Elemen Karekter Dalam Cerita

Keupayaan membezakan karekter penting dalam memastikan kefahaman terhadap cerita



Contoh contoh soalan bagi menguji pemahaman dan kemahiran menganalisa karakter yang terdapat di dalam cerita adalah seperti berikut:


Siapakah (watak) yang terdapat di dalam cerita ini?
Apakah yang watak/ mereka lakukan?
Apakah yang mereka susah
Apakah hubungan yang terdapat di antara mereka/ dua watak tersebut?
Apakah yang dirasakan oleh watak watak tersebut di saat ini? Mengapakah mereka berasa demikian?
Apakah yang difikirkan pula oleh watak watak tersebut? Mengapakah kamu berkata demikian?


Peringatan: Soalan soalan di atas (dan seterusnya) hanyalah sekadar contoh. Setiap soalan yang ingin diajukan boleh disesuaikan mengikut umur dan tahap kefahaman.


bersambung....

Sunday, March 11, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (1)

0 comments
eeerrrrrrrrr....apa saya nak tanya dan cakap ni?


Pertama kali menggunakan buku bergambar tanpa perkataan?

Bukan sahaja kanak kanak, kita sebagai orang dewasa juga akan menghadapi masalah kekangan idea untuk menggunakan buku ini memandangkan buku ini bukanlah buku yang biasa dalam budaya membaca kita.

Helaian demi helaian diselak, namun masih tiada lagi interaksi yang wujud antara pencerita dan kanak kanak dek kerana 'kejanggalan' buku ini yang tiada ayat mahupun perkataan untuk dibacakan kepada mereka. Hanya ilustrasi semata mata.

Soalan Soalan "Prompt"

Soalan soalan "prompt" atau penggalak amatlah penting dalam menjayakan aktiviti bercerita menggunakan buku jenis ini. Kita boleh bertanyakan soalan untuk:

  • menggalakkan kanak kanak bercerita atau menggambarkan kisah di dalam buku tersebut
  • membantu mereka menyusun atau melihat susunan dan jalan cerita
  • membantu mereka memahami karekter yang wujud di dalam cerita tersebut
  • membantu mereka mengenal pasti lokasi atau persekitaran cerita
  • memudahkan mereka memahami keseluruhan cerita (melalui ramalan awal, analisis dan lain lain)
  • menggalakkan mereka berfikir dan menghubungkaitkan cerita dengan pengalaman yang mereka alami sendiri

Apakah Contoh Contoh Soalannya pula?

Berikut pula disenaraikan contoh contoh soalan berserta penerangan ringkas untuk ditanyakan mengikut urutan seperti yang telah dibincangkan sebentar tadi.


Menggalakkan penceritaan


Jika buku tersebut mengandungi gambar orang atau haiwan yang sedang melakukan aktiviti, soalan yang boleh ditanyakan adalah:

Apakah yang sedang dilakukan orang orang/ haiwan haiwan di dalam gambar itu?


Jika ia menggambarkan sebuah pemandangan, kita boleh bertanyakan:

Apakah yang sedang berlaku di dalam gambar ini?


Apabila kita mahu mereka menghuraikan dengan lebih lanjut dalam ayat yang lebih lengkap, soalan berikut boleh diajukan:

Jika buku ini mempunyai ayat ayat yang membentuk sebuah cerita, apakah yang akan ditulis untuk muka surat ini?


Soalan yang menggalakkan mereka menggunakan kemahiran berfikir adalah seperti berikut:

Apakah faktor/ perkara yang terdapat di dalam gambar ini yang membantu kita untuk mengetahui apa yang akan berlaku selepas ini?
Apakah yang berlaku di sini? Mengapakah ia berlaku?


Kita juga boleh merangsang daya visual atau kecekapan kemahiran visual melalui:

Apakah perkara lain yang boleh dilihat/ ditafsir melalui gambar ini?

Adakah gambar ini seolah seolah mempunyai ralat/ sesuatu yang aneh/ tidak kena?


Menghasilkan variasi dalam jawapan melalui soalan berikut:

Adakah perkataan lain atau huraian lain dalam menjelaskan apa yang dapat dilihat? Apakah perkataan lain yang sesuai untuk digunakan?


Kita juga boleh menyelak halaman demi halaman dari mula hingga akhir untuk mendapatkan gambaran keseluruhan cerita tersebut. Setelah selesai aktiviti scanning ini, kita boleh kembali ke muka surat pertama lalu bertanyakan soalan berikut:

Katakan kisah buku ini ingin diceritakan kepada orang lain. Apakah yang akan disampaikan kepadanya tentang apa yang berlaku di muka surat ini?
(jika merujuk kepada halaman tertentu)

Katakan kisah buku ini ingin diceritakan kepada orang lain. apakah yang akan disampaikan kepadanya tentang cerita ini?
(jika ingin mereka bercerita dengan lebih independent, sambil diselitkan beberapa soalan sepanjang mereka bercerita)


bersambung...

Tuesday, March 6, 2012

Seni Bertanya Melalui Buku Tanpa Perkataan (2)

0 comments
...sambungan

Banyak soalan yang boleh dilontarkan kepada kanak kanak semasa mereka membaca buku bergambar tanpa perkataan.

Sesi soal jawab yang berlangsung ketika membaca buku bergambar tanpa perkataan dapat merangsang dan melatih kemahiran berfikir di kalangan kanak kanak. Daripada kemahiran berfikir paras rendah sehinggalah kemahiran berfikir paras tinggi, semuanya dapat dijana melalui jenis jenis soalan yang dilontarkan kepada mereka.

Secara tidak langsung juga, sesi ini dapat memupuk skil menyoal kanak kanak.


Skil Menyoal


Sesungguhnya, skil menyoal ini amat penting bagi kanak kanak supaya proses pembelajaran mereka berkembang dengan lebih baik, di mana mereka tahu bila dan bagaimana untuk memperoleh maklumat melalui seni bertanya.

Selain itu, skil menyoal di kalangan kanak kanak juga dapat membantu mereka mempunyai perbualan yang baik dan bermakna bersama ibu bapa atau dapat menyoal dengan baik di dalam bilik darjah.



Menyoal dengan menggunakan Taxanomy Bloom (TB)

Antara panduan yang boleh digunakan untuk menyoal kanak kanak semasa aktiviti membaca buku bergambar tanpa perkataan adalah melalui Taxanomy Bloom (TB) seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Berikut merupakan penerangan ringkas dan contoh soalan yang boleh digunakan (dengan menggunakan buku Rainstorm karya Barbara Lehman sebagai panduan).



1. Mengingati

Mengingati bermakna kanak kanak berupaya memikirkan dan menyatakan kembali informasi yang telah mereka alami atau pelajari sebelum ini. Antara soalan soalannya:

Apakah dia...
Berapakah bilangan...
Apakah yang berlaku...
Yang manakah benar dan salah di antara...
Siapakah yang melakukan...
Namakan yang...
Gambarkan...

Contoh:
Gambarkan bagaimana hujan (ribut) itu?



2. Memahami

Memahami bermaksud kanak kanak berupaya menangkap erti informasi tersebut melalui intepretasi dan tafsiran apa yang telah dipelajari dengan menggunakan ayat sendiri. Antara soalan soalannya:

Apakah maksud...
Apakah pendapat anda...
Cuba jelaskan punca...
Mengapakah mereka...
Apakah yang bakal berlaku selepas...
Huraikan lebih lanjut....


Contoh:
Mengapakah kanak kanak lelaki itu bermain di dalam rumah, bukan di luar apabila hujan (ribut)?


3. Mengaplikasikan

Mengaplikasikan bermakna kanak kanak mengguna pakai informasi yang telah dipelajari sebelumnya di dalam konteks atau situasi baru terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Antara soalan soalannya:

Apakah yang akan berlaku...
Apakah contoh lain...
Bagaimanakah ia boleh diselesaikan....
Apakah kaitan antara...
Apakah persamaan/ perbezaan....
Kelaskan karekter...
Yang manakah satu...

Contoh:
Apakah yang akan berlaku kepada kamu apabila hari hujan (ribut)?


4. Menganalisa

Pada tahap ini, kanak kanak mula memecahkan atau mengasingkan informasi yang telah dipelajari kepada komponen yang berasingan untuk memudahkan kefahaman dan mengkaji hubungan yang wujud di antara komponen komponen itu.

Justeru, soalan mengapakah banyak sekali digunakan dalam menentu kaitkan hubungan hubungan tersebut. Melalui proses ini, kanak kanak banyak melakukan pertimbangan dan akhirnya mendapatkan satu rumusan atau kesimpulan.



Antara soalan soalan:

Mengapakah kejadian ini berlaku...
Bezakan antara....
Apakah masalah yang mungkin akan berlaku apabila...
Apakah faktor berlakunya kejadian...
Apakah fungsi...
Mengapakah anda percaya bahawa,...
Apakah hubungan di antara...
Apakah hujah/ kesan di sebalik....

Contoh:
Terangkan mengapakah hari hujan (ribut) boleh berlaku?
Mengapakah kanak kanak lelaki itu kelihatan begitu sedih (di dalam gambar itu)?


5. Menilai

Di dalam peringkat ini, kanak kanak mula membuat keputusan berdasarkan refleksi, kritikan dan taksiran yang mendalam terhadap idea idea atau informasi yang diterima.

Antara soalan soalannya:

Yang manakah lebih baik...
Adakah solusi lain yang lebih baik....
Pertimbangkan...
Apakah perubahan yang dapat dilakukan....
Apakah kebaikan dan keburukan....
Apakah alternatif kepada....
Adakah ia sesuatu yang baik atau buruk...

Contoh:
Adakah hari hujan (ribut) itu sesuatu yang buruk kepada kita? Mengapa?
Apakah yang mungkin akan berlaku jika kanak kanak lelaki itu tidak sempat pulang ke rumah?

6. Mencipta

Dalam mencipta, kanak kanak akan mereka idea idea baru dengan menggunakan segala informasi yang telah dipelajari dahulu.

Di sini, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis banyak diguna pakai. Kanak kanak memerlukan kebebasan dalam menyatakan pendapat dan menjana idea dalam menghasilkan keputusan.

Antara soalan soalannya:

Ciptakan sesuatu...
Adakah solusi baru boleh dilakukan bagi...
Bagaimanakah cara (terbaru) untuk mengatasi...
Berapakah/ bagaimanakah cara baru untuk melakukan...
Apakah yang akan berlaku sekiranya...
Cadangkan satu alternatif baru...
Bagaimanakah cara untuk menguji...

Contoh:
Apakah yang akan berlaku kepada kanak kanak lelaki itu sekiranya kesudahan cerita tersebut berlaku disebaliknya?



Kesusahan Soalan Berdasarkan Umur?


Aras kesusahan soalan yang diajukan kepada kanak kanak tidak semestinya
berbeza mengikut umur; soalan mudah untuk yang lebih muda
dan susah untuk yang lebih tua.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa kesusahan soalan yang dilontarkan haruslah bersesuaian mengikut umur. Ini bermakna, semakin meningkat usia kanak kanak itu, semakin sukar corak soalan yang diberikan.

Sebenarnya, pendapat ini ternyata tidak benar sama sekali kerana setiap peringkat umur harus didedahkan dengan keenam enam peringkat ini. Bezanya adalah, jenis penggunaan bahasa dan maklumat atau kandungan yang terdapat di dalam soalan itu.

Bahkan, semua peringkat umur harus didedahkan dengan kedua dua jenis iaitu soalan jenis tertutup dan soalan jenis terbuka. Bukannya, kanak kanak yang lebih muda usianya hanya perlu didedahkan soalan tertutup sahaja manakala yang yang lebih tua soalan jenis terbuka sahaja.


Soalan Terbuka dan Tertutup

Soalan jenis tertutup berbiasa memerlukan jawapan seringkas satu perkataan atau satu ayat ringkas manakala soalan terbuka memerlukan jawapan yang lebih panjang sifatnya.

Kebiasaannya, soalan jenis tertutup terhad kepada soalan yang memerlukan jawapan fakta, yakni hanya menggunakan kemahiran berfikir paras rendah. Soalan jenis terbuka pula memerlukan jawapan yang menunjukkan ciri ciri kemahiran berfikir tinggi telah digunakan.

Namun, dalam keadaan tertentu, soalan soalan tertutup juga sebenarnya boleh membawa kepada penggunaan kemahiran berfikir tinggi dan sebaliknya, soalan jenis terbuka juga boleh digunakan dalam menguji kemahiran berfikir aras rendah.

Contoh:

  1. Apakah haiwan mamalia yang bertelur? (soalan tertutup dan jenis aras bawah)
  2. Sejak kebelakangan ini, hujan turun tidak berhenti henti. Pada pendapat anda, adakah aras air di laut akan melimpah? (soalan tertutup dan jenis aras tinggi)
  1. Mengapakah sungai mengalir menuruni bukit? (soalan terbuka dan jenis aras rendah)
  2. Adakah solusi baru yang boleh dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya? (soalan terbuka dan jenis aras tinggi)
Kesimpulan

Soalan soalan aras rendah penting dalam:

  • menguji kefahaman
  • mengenalpasti kekuatan dan kelemahan
  • reviu apa yang telah dipelajari

Soalan soalan aras tinggi pula penting dalam:

  • menggalakkan kanak kanak berfikir dengan lebih mendalam dan banyak melakukan analisa
  • menyelesaikan masalah
  • menggalakkan perbincangan dengan meluas
  • merangsang kanak kanak berfikir lebih jauh dan membuat kajian/ mencari informasi sendiri

Friday, February 10, 2012

Seni Bertanya Melalui Buku Bergambar Tanpa Perkataan (1)

0 comments
Taxanomy Bloom

Sehingga kini, ramai guru guru di seluruh dunia tidak kira daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke universiti menggunapakai Taxanomy Bloom (TB). TB ini digunakan dari membina rangka kursus/mata pelajaran, menetapkan objektif pembelajaran sehinggalah dalam menentukan jenis jenis soalan dalam peperiksaan bersama sama.

Ini adalah kerana 6 tahap yang berbeza terdapat dalam TB dapat dijadikan panduan dalam menguji sejauh mana kefahaman pelajar dan kemahiran berfikir mereka. 6 tahap atau klasifikasi tersebut menunjukkan keupayaan berfikir seseorang individu itu adalah dalam:


Mencipta (Kemahiran berfikir tinggi)

Menilai (Kemahiran berfikir tinggi)

Menganalisa (Kemahiran berfikir tinggi)

Mengaplikasikan

Memahami

Mengingati


Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, banyak soalan soalan yang boleh dilontarkan kepada anak dalam membantu dan merangsang mereka menggunakan buku bergambar tanpa perkataan.

Untuk itu, ibu bapa boleh juga melontarkan soalan berpandukan 6 klasifikasi ini dalam menjalankan aktiviti membaca buku bergambar tanpa perkataan dan aktiviti aktiviti lain berdasarkan buku tersebut.

Apakah contoh contoh soalan berdasarkan 6 klasifikasi Taxanomy Bloom?


bersambung...

Tuesday, February 7, 2012

Memilih Buku: Kita Atau Mereka Yang Pilihkan?

0 comments
Dalam pemilihan buku yang bersesuaian, kita bertanggungjawab dalam menentukan judul, kandungan, kesesuaian umur dan tahap kesukaran sesebuah buku itu.

Namun, kuasa memilih harus diterapkan pada anak anak sejak kecil lagi. Ini kerana, kita dapat memberi peluang pada mereka untuk mempraktikkan skil membuat keputusan dan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang telah diambil itu.
Beri peluang pada anak untuk berfikir dengan teliti dalam memilih (gambar hiasan).

Apabila budaya memilih berjaya diterapkan dan si anak kelihatan sudah cekap membuat keputusan, mereka dibiarkan memilih sendiri tanpa perlu bantuan daripada kita. Jika mereka meminta bantuan, barulah diberikan pendapat yang bersifat positif dan boleh melontarkan kembali soalan itu kepada mereka. Contoh,

"Buku yang Shasha pilih ini, nampak bagus dan isinya nampak menarik. Apa pendapat Shasha?"

Kita juga boleh merumuskan dengan ringkas kisah buku tersebut dan bertanyakan kembali kepadanya. Tugas kita hanya membantu, bukan membuat keputusan untuk mereka.


Sebagai contoh, kanak kanak berusia 6 tahun
ditanyakan tentang pilihannya terhadap buku bergambar tanpa perkataan bertajuk The Red Book.

"Buku ini mengisahkan seorang kanak kanakperempuan yang terjumpa sebuah buku magik berwarna merah.

Shash
a suka cerita tentang magik dan kanak kanak perempuan?"

The Red Book dari Barbara Lehman.

Dengan cara ini, mereka akhirnya akan kembali membuat penilaian dan keputusan sendiri. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu khuatir sama ada tajuk dan kandungan buku yang dipilih kelihatan terlalu mudah atau terlalu berat buat mereka. Ini adalah salah satu proses pembelajaran untuk mereka.

Apabila mereka memilih sendiri, kecenderungan untuk menghabiskan buku tersebut adalah lebih tinggi. Mereka juga akan berasa lebih gembira dalam aktiviti membaca mereka. Mereka akan cenderung untuk meneruskan aktiviti membaca mereka dari tahun ke tahun kerana melihat membaca itu bukan sesuatu perkara yang dipaksa bahkan menyeronokkan.


Memilih Buku: Bagaimana mahu dimulakan?




Apabila kita mula memperkenalkan sesebuah buku, beberapa buah buku berlainan judul yang mempunyai tahap yang sama bolehlah dipilih. Kemudian, buku buku tersebut diberikan kepada anak anak dan ruang diberikan kepada mereka untuk memilih.

Situasi ini boleh dijalankan ke atas anak anak yang baru mula mengenali buku, baru mula membaca, masalah membaca, atau kita sendiri ingin menjalankan sesuatu aktiviti berdasarkan objektif tertentu.

Untuk peringkat permulaan, penilaian mereka akan lebih tertumpu kepada kover hadapan seperti warnanya, corak dan gambarnya.

Buku Yang Senang, Sedang Sedang atau Susah

Terdapat tiga kategori buku untuk anak anak.

Senang Buku kategori ini yang paling lancar dibaca dan paling mudah difahami. Buku ini perlu dalam membina tahap keyakinan diri dalam membaca. Anak anak sering mengulang bacaannya dan menjadikannya salah satu buku kegemaran.

Sedang sedang Buku kategori ini kebiasaannya mempunyai plot yang senang difahami dan pada masa yang sama terdapat sedikit kesukaran. Namun, masih boleh difahami. Kebanyakan buku ini mengandungi sesuatu maklumat baru bagi mereka.

Susah Buku ini mengundang cabaran buat anak anak untuk difahami. Ini kerana plot atau jalan ceritanya lebih kompleks dan isi bukunya lebih banyak tahap sukar berbanding mudah. Buku ini juga mengandungi banyak informasi baru dan kadang kala di luar budaya dan persekitaran mereka.

Ketiga tiga jenis buku ini hendaklah diperkenalkan kesemuanya pada anak anak. Mereka perlu didedahkan secara terperinci dan bantuan hendaklah diberikan apabila sesebuah buku itu semakin sukar tahapnya.

Melatih Strategi Memilih Buku


Kita juga amat digalakkan dalam mendidik anak anak strategi dalam memilih buku. Metod menyoal diri sendiri boleh diperkenalkan dalam membuat penilaian. Sebagai permulaan, soalan soalan bolehlah diajukan oleh ibu bapa kepada si anak.

Antara soalan yang boleh digunakan dalam strategi ini ialah;
  • Pernah baca/ lihat buku seperti ini sebelum ini?
  • Boleh faham jalan ceritanya?
  • Boleh baca dengan lancar?
  • Ada rasa keliru dengan mana mana bahagian buku ini?
  • Bersedia untuk dibantu jika buku itu sukar?

Apabila anak anak sudah mahir, soalan soalan ini akan digunakan oleh mereka sendiri dalam menentukan jenis kategori buku yang mereka inginkan pada masa itu.

Soalan yang terakhir itu amat penting dalam menentukan sama ada si anak itu bersedia ataupun tidak dalam mencuba buku baru yang lebih sukar berbanding buku yang mereka biasa gunakan.