Monday, January 30, 2012

Menariknya Membaca Buku Tanpa Perkataan! (1)

Banyak aktiviti yang boleh dijalankan dengan menggunakan buku tanpa perkataan (wordless picture book) ini. Berikut merupakan contoh aktiviti yang boleh dijalankan

Profil

Nama kanak-kanak: Shasha
Umur: 6 tahun 3 bulan
Tajuk buku: Rainstorm (tulisan Barbara Lehman)
Hobi: mewarna, menulis dan menyanyi.
Kelebihan: Sudah pandai menulis dan membaca namun, kurang sabar dan kadang kala mudah jemu untuk menghabiskan bacaan satu buku.

Pengenalan Buku

Setiap kali apabila kita memperkenalkan apa-apa sahaja buku kepada kanak kanak, pengenalan buku hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Aktiviti ini boleh dilakukan dengan membincangkan tajuk buku dan gambar di kovernya.

Kita boleh melontarkan pelbagai soalan hanya melalui kover dan tajuk, sebagai contoh, "Pada pendapat Shasha, buku cerita ini mengisahkan cerita apa?" Dengan ini, kita mengajar mereka konsep ramalan (prediction).

Jika tiada respon yang diberi, ini berkemungkinan, soalan yang dilontarkan adalah formal lantas kurang difahami. Oleh itu, soalan yang kedua boleh dilontarkan dengan menggunakan ayat tanya yang lebih mudah seperti, "Shasha rasa, cerita ini pasal apa ya?"

Namun, adalah lebih digalakkan untuk sentiasa mengulang ayat yang formal atau Bahasa Melayu Tinggi (BMT) sebagai langkah awal untuk memperkenalkan dan membiasakan mereka dengan bahasa yang sempurna.


Dari kover, banyak perkara boleh disoalkan untuk merangsang kemahiran berfikir.


Kadang kala, soalan yang umum (seperti di atas tadi) tidak membawa respon kepada kanak kanak. Oleh itu, soalan yang lebih spesifik boleh dilontarkan. Sebagai contoh, "Siapa yang berada di tingkap itu, Shasha?" Apabila jawapan telah diberi, lontarkan lagi soalan, "Dia sedang buat apa itu?"

Jika cara ini tidak berjaya, close ended question boleh dilontarkan. Contoh, "Shasha, dalam gambar ini, hari sedang hujan ke atau panas terik?"


Pengembaraan Bermula!

Sebelum memulakan sesi bercerita, perkenalkan kandungan buku ini yang mengandungi gambar bersiri tetapi tidak mempunyai ayat untuk menggambarkan jalan cerita. Dengan menggunakan teknik yang sama, lontarkan soalan untuk menggalakkan kanak kanak untuk menceritakan kembali apa yang dapat dilihat dan difikirkan. Lama kelamaan, tanpa perlu disoal, kanak kanak ini sendiri akan menceritakan apa yang dapat dilihat.

Tanpa disedari, gambar gambar yang terdapat di dalam buku ini berfungsi sebagai stimulus komunikasi antara pencerita (ibu bapa atau guru) dengan kanak kanak. Selain itu, aktiviti ini dapat melatih daya pemerhatian kanak kanak untuk menjadi tajam.

Apabila komunikasi berlangsung antara pencerita dan kanak kanak, aktiviti ini juga dapat merangsang daya tumpuan, melatih kemahiran mendengar (melalui sesi soal jawab, mendengar "cue" dari pencerita) dan melatih kemahiran bercakap kanak kanak tersebut.

Aktiviti membaca buku tanpa perkataan ini juga satu aktiviti yang amat bermanfaat untuk menguatkan lagi hubungan dan komunikasi antara pencerita (ibu bapa atau guru) dan kanak kanak. Ini kerana, pencerita dapat bertukar tukar pendapat dengan kanak kanak tentang intepretasi gambar gambar tersebut. Sudah tentu, sudut pandang seorang dewasa kadang kala berbeza berbanding sudut pandang seorang kanak kanak. Boleh jadi, sudut pandang kanak kanak sangat mengejutkan kerana daya imaginasi dan kreativiti mereka sangat tinggi.

bersambung...



  • Stumble This
  • Fav This With Technorati
  • Add To Del.icio.us
  • Digg This
  • Add To Facebook
  • Add To Yahoo

0 comments:

Post a Comment