Tuesday, March 6, 2012

Seni Bertanya Melalui Buku Tanpa Perkataan (2)

...sambungan

Banyak soalan yang boleh dilontarkan kepada kanak kanak semasa mereka membaca buku bergambar tanpa perkataan.

Sesi soal jawab yang berlangsung ketika membaca buku bergambar tanpa perkataan dapat merangsang dan melatih kemahiran berfikir di kalangan kanak kanak. Daripada kemahiran berfikir paras rendah sehinggalah kemahiran berfikir paras tinggi, semuanya dapat dijana melalui jenis jenis soalan yang dilontarkan kepada mereka.

Secara tidak langsung juga, sesi ini dapat memupuk skil menyoal kanak kanak.


Skil Menyoal


Sesungguhnya, skil menyoal ini amat penting bagi kanak kanak supaya proses pembelajaran mereka berkembang dengan lebih baik, di mana mereka tahu bila dan bagaimana untuk memperoleh maklumat melalui seni bertanya.

Selain itu, skil menyoal di kalangan kanak kanak juga dapat membantu mereka mempunyai perbualan yang baik dan bermakna bersama ibu bapa atau dapat menyoal dengan baik di dalam bilik darjah.



Menyoal dengan menggunakan Taxanomy Bloom (TB)

Antara panduan yang boleh digunakan untuk menyoal kanak kanak semasa aktiviti membaca buku bergambar tanpa perkataan adalah melalui Taxanomy Bloom (TB) seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Berikut merupakan penerangan ringkas dan contoh soalan yang boleh digunakan (dengan menggunakan buku Rainstorm karya Barbara Lehman sebagai panduan).



1. Mengingati

Mengingati bermakna kanak kanak berupaya memikirkan dan menyatakan kembali informasi yang telah mereka alami atau pelajari sebelum ini. Antara soalan soalannya:

Apakah dia...
Berapakah bilangan...
Apakah yang berlaku...
Yang manakah benar dan salah di antara...
Siapakah yang melakukan...
Namakan yang...
Gambarkan...

Contoh:
Gambarkan bagaimana hujan (ribut) itu?



2. Memahami

Memahami bermaksud kanak kanak berupaya menangkap erti informasi tersebut melalui intepretasi dan tafsiran apa yang telah dipelajari dengan menggunakan ayat sendiri. Antara soalan soalannya:

Apakah maksud...
Apakah pendapat anda...
Cuba jelaskan punca...
Mengapakah mereka...
Apakah yang bakal berlaku selepas...
Huraikan lebih lanjut....


Contoh:
Mengapakah kanak kanak lelaki itu bermain di dalam rumah, bukan di luar apabila hujan (ribut)?


3. Mengaplikasikan

Mengaplikasikan bermakna kanak kanak mengguna pakai informasi yang telah dipelajari sebelumnya di dalam konteks atau situasi baru terutamanya dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Antara soalan soalannya:

Apakah yang akan berlaku...
Apakah contoh lain...
Bagaimanakah ia boleh diselesaikan....
Apakah kaitan antara...
Apakah persamaan/ perbezaan....
Kelaskan karekter...
Yang manakah satu...

Contoh:
Apakah yang akan berlaku kepada kamu apabila hari hujan (ribut)?


4. Menganalisa

Pada tahap ini, kanak kanak mula memecahkan atau mengasingkan informasi yang telah dipelajari kepada komponen yang berasingan untuk memudahkan kefahaman dan mengkaji hubungan yang wujud di antara komponen komponen itu.

Justeru, soalan mengapakah banyak sekali digunakan dalam menentu kaitkan hubungan hubungan tersebut. Melalui proses ini, kanak kanak banyak melakukan pertimbangan dan akhirnya mendapatkan satu rumusan atau kesimpulan.



Antara soalan soalan:

Mengapakah kejadian ini berlaku...
Bezakan antara....
Apakah masalah yang mungkin akan berlaku apabila...
Apakah faktor berlakunya kejadian...
Apakah fungsi...
Mengapakah anda percaya bahawa,...
Apakah hubungan di antara...
Apakah hujah/ kesan di sebalik....

Contoh:
Terangkan mengapakah hari hujan (ribut) boleh berlaku?
Mengapakah kanak kanak lelaki itu kelihatan begitu sedih (di dalam gambar itu)?


5. Menilai

Di dalam peringkat ini, kanak kanak mula membuat keputusan berdasarkan refleksi, kritikan dan taksiran yang mendalam terhadap idea idea atau informasi yang diterima.

Antara soalan soalannya:

Yang manakah lebih baik...
Adakah solusi lain yang lebih baik....
Pertimbangkan...
Apakah perubahan yang dapat dilakukan....
Apakah kebaikan dan keburukan....
Apakah alternatif kepada....
Adakah ia sesuatu yang baik atau buruk...

Contoh:
Adakah hari hujan (ribut) itu sesuatu yang buruk kepada kita? Mengapa?
Apakah yang mungkin akan berlaku jika kanak kanak lelaki itu tidak sempat pulang ke rumah?

6. Mencipta

Dalam mencipta, kanak kanak akan mereka idea idea baru dengan menggunakan segala informasi yang telah dipelajari dahulu.

Di sini, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis banyak diguna pakai. Kanak kanak memerlukan kebebasan dalam menyatakan pendapat dan menjana idea dalam menghasilkan keputusan.

Antara soalan soalannya:

Ciptakan sesuatu...
Adakah solusi baru boleh dilakukan bagi...
Bagaimanakah cara (terbaru) untuk mengatasi...
Berapakah/ bagaimanakah cara baru untuk melakukan...
Apakah yang akan berlaku sekiranya...
Cadangkan satu alternatif baru...
Bagaimanakah cara untuk menguji...

Contoh:
Apakah yang akan berlaku kepada kanak kanak lelaki itu sekiranya kesudahan cerita tersebut berlaku disebaliknya?



Kesusahan Soalan Berdasarkan Umur?


Aras kesusahan soalan yang diajukan kepada kanak kanak tidak semestinya
berbeza mengikut umur; soalan mudah untuk yang lebih muda
dan susah untuk yang lebih tua.

Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa kesusahan soalan yang dilontarkan haruslah bersesuaian mengikut umur. Ini bermakna, semakin meningkat usia kanak kanak itu, semakin sukar corak soalan yang diberikan.

Sebenarnya, pendapat ini ternyata tidak benar sama sekali kerana setiap peringkat umur harus didedahkan dengan keenam enam peringkat ini. Bezanya adalah, jenis penggunaan bahasa dan maklumat atau kandungan yang terdapat di dalam soalan itu.

Bahkan, semua peringkat umur harus didedahkan dengan kedua dua jenis iaitu soalan jenis tertutup dan soalan jenis terbuka. Bukannya, kanak kanak yang lebih muda usianya hanya perlu didedahkan soalan tertutup sahaja manakala yang yang lebih tua soalan jenis terbuka sahaja.


Soalan Terbuka dan Tertutup

Soalan jenis tertutup berbiasa memerlukan jawapan seringkas satu perkataan atau satu ayat ringkas manakala soalan terbuka memerlukan jawapan yang lebih panjang sifatnya.

Kebiasaannya, soalan jenis tertutup terhad kepada soalan yang memerlukan jawapan fakta, yakni hanya menggunakan kemahiran berfikir paras rendah. Soalan jenis terbuka pula memerlukan jawapan yang menunjukkan ciri ciri kemahiran berfikir tinggi telah digunakan.

Namun, dalam keadaan tertentu, soalan soalan tertutup juga sebenarnya boleh membawa kepada penggunaan kemahiran berfikir tinggi dan sebaliknya, soalan jenis terbuka juga boleh digunakan dalam menguji kemahiran berfikir aras rendah.

Contoh:

  1. Apakah haiwan mamalia yang bertelur? (soalan tertutup dan jenis aras bawah)
  2. Sejak kebelakangan ini, hujan turun tidak berhenti henti. Pada pendapat anda, adakah aras air di laut akan melimpah? (soalan tertutup dan jenis aras tinggi)
  1. Mengapakah sungai mengalir menuruni bukit? (soalan terbuka dan jenis aras rendah)
  2. Adakah solusi baru yang boleh dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya? (soalan terbuka dan jenis aras tinggi)
Kesimpulan

Soalan soalan aras rendah penting dalam:

  • menguji kefahaman
  • mengenalpasti kekuatan dan kelemahan
  • reviu apa yang telah dipelajari

Soalan soalan aras tinggi pula penting dalam:

  • menggalakkan kanak kanak berfikir dengan lebih mendalam dan banyak melakukan analisa
  • menyelesaikan masalah
  • menggalakkan perbincangan dengan meluas
  • merangsang kanak kanak berfikir lebih jauh dan membuat kajian/ mencari informasi sendiri
  • Stumble This
  • Fav This With Technorati
  • Add To Del.icio.us
  • Digg This
  • Add To Facebook
  • Add To Yahoo

0 comments:

Post a Comment