Tuesday, February 7, 2012

Memilih Buku: Kita Atau Mereka Yang Pilihkan?

Dalam pemilihan buku yang bersesuaian, kita bertanggungjawab dalam menentukan judul, kandungan, kesesuaian umur dan tahap kesukaran sesebuah buku itu.

Namun, kuasa memilih harus diterapkan pada anak anak sejak kecil lagi. Ini kerana, kita dapat memberi peluang pada mereka untuk mempraktikkan skil membuat keputusan dan bertanggungjawab atas setiap keputusan yang telah diambil itu.
Beri peluang pada anak untuk berfikir dengan teliti dalam memilih (gambar hiasan).

Apabila budaya memilih berjaya diterapkan dan si anak kelihatan sudah cekap membuat keputusan, mereka dibiarkan memilih sendiri tanpa perlu bantuan daripada kita. Jika mereka meminta bantuan, barulah diberikan pendapat yang bersifat positif dan boleh melontarkan kembali soalan itu kepada mereka. Contoh,

"Buku yang Shasha pilih ini, nampak bagus dan isinya nampak menarik. Apa pendapat Shasha?"

Kita juga boleh merumuskan dengan ringkas kisah buku tersebut dan bertanyakan kembali kepadanya. Tugas kita hanya membantu, bukan membuat keputusan untuk mereka.


Sebagai contoh, kanak kanak berusia 6 tahun
ditanyakan tentang pilihannya terhadap buku bergambar tanpa perkataan bertajuk The Red Book.

"Buku ini mengisahkan seorang kanak kanakperempuan yang terjumpa sebuah buku magik berwarna merah.

Shash
a suka cerita tentang magik dan kanak kanak perempuan?"

The Red Book dari Barbara Lehman.

Dengan cara ini, mereka akhirnya akan kembali membuat penilaian dan keputusan sendiri. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu khuatir sama ada tajuk dan kandungan buku yang dipilih kelihatan terlalu mudah atau terlalu berat buat mereka. Ini adalah salah satu proses pembelajaran untuk mereka.

Apabila mereka memilih sendiri, kecenderungan untuk menghabiskan buku tersebut adalah lebih tinggi. Mereka juga akan berasa lebih gembira dalam aktiviti membaca mereka. Mereka akan cenderung untuk meneruskan aktiviti membaca mereka dari tahun ke tahun kerana melihat membaca itu bukan sesuatu perkara yang dipaksa bahkan menyeronokkan.


Memilih Buku: Bagaimana mahu dimulakan?




Apabila kita mula memperkenalkan sesebuah buku, beberapa buah buku berlainan judul yang mempunyai tahap yang sama bolehlah dipilih. Kemudian, buku buku tersebut diberikan kepada anak anak dan ruang diberikan kepada mereka untuk memilih.

Situasi ini boleh dijalankan ke atas anak anak yang baru mula mengenali buku, baru mula membaca, masalah membaca, atau kita sendiri ingin menjalankan sesuatu aktiviti berdasarkan objektif tertentu.

Untuk peringkat permulaan, penilaian mereka akan lebih tertumpu kepada kover hadapan seperti warnanya, corak dan gambarnya.

Buku Yang Senang, Sedang Sedang atau Susah

Terdapat tiga kategori buku untuk anak anak.

Senang Buku kategori ini yang paling lancar dibaca dan paling mudah difahami. Buku ini perlu dalam membina tahap keyakinan diri dalam membaca. Anak anak sering mengulang bacaannya dan menjadikannya salah satu buku kegemaran.

Sedang sedang Buku kategori ini kebiasaannya mempunyai plot yang senang difahami dan pada masa yang sama terdapat sedikit kesukaran. Namun, masih boleh difahami. Kebanyakan buku ini mengandungi sesuatu maklumat baru bagi mereka.

Susah Buku ini mengundang cabaran buat anak anak untuk difahami. Ini kerana plot atau jalan ceritanya lebih kompleks dan isi bukunya lebih banyak tahap sukar berbanding mudah. Buku ini juga mengandungi banyak informasi baru dan kadang kala di luar budaya dan persekitaran mereka.

Ketiga tiga jenis buku ini hendaklah diperkenalkan kesemuanya pada anak anak. Mereka perlu didedahkan secara terperinci dan bantuan hendaklah diberikan apabila sesebuah buku itu semakin sukar tahapnya.

Melatih Strategi Memilih Buku


Kita juga amat digalakkan dalam mendidik anak anak strategi dalam memilih buku. Metod menyoal diri sendiri boleh diperkenalkan dalam membuat penilaian. Sebagai permulaan, soalan soalan bolehlah diajukan oleh ibu bapa kepada si anak.

Antara soalan yang boleh digunakan dalam strategi ini ialah;
  • Pernah baca/ lihat buku seperti ini sebelum ini?
  • Boleh faham jalan ceritanya?
  • Boleh baca dengan lancar?
  • Ada rasa keliru dengan mana mana bahagian buku ini?
  • Bersedia untuk dibantu jika buku itu sukar?

Apabila anak anak sudah mahir, soalan soalan ini akan digunakan oleh mereka sendiri dalam menentukan jenis kategori buku yang mereka inginkan pada masa itu.

Soalan yang terakhir itu amat penting dalam menentukan sama ada si anak itu bersedia ataupun tidak dalam mencuba buku baru yang lebih sukar berbanding buku yang mereka biasa gunakan.
  • Stumble This
  • Fav This With Technorati
  • Add To Del.icio.us
  • Digg This
  • Add To Facebook
  • Add To Yahoo

0 comments:

Post a Comment